Dengan kemajuan komunikasi dan akses kepada teknologi, kita mula melihat kaedah yang lebih cepat dan mudah untuk melaksanakan rutin harian kita. Sepuluh tahun yang lalu, kita perlu membuat panggilan telefon jika kita memerlukan perkhidmatan teksi. Hari ini, hanya dengan beberapa sentuhan di skrin telefon pintar, kita dapat menempah teksi bagi perjalanan kita. Sebuah aplikasi mudah alih tempatan, Grab (dahulunya dikenali sebagai MyTeksi) beroperasi dengan menggunakan teksi sedia ada dan dalam masa yang sama, menjanjikan tahap keselamatan dan jaminan tambang lebih baik daripada sistem sebelum ini. Walau bagaimanapun, sesiapa yang mengetahui tentang Uber akan memberitahu kita bahawa Uber telah wujud lebih lama dahulu sebelum Grab tetapi ianya tidak didapati di Malaysia. Kenyataan ini membangkitkan keraguan, sama ada kita berupaya untuk menjana idea inovatif atau tidak. Bagi saya, keraguan tidak timbul kerana proses ini memerlukan usahawan untuk membuat perancangan secara mendalam untuk melaksanakan sesebuah idea dalam konteks tempatan. Perbezaan dari segi undang-undang dan keadaan demografi masyarakat memerlukan semangat keusahawanan yang tinggi bagi membolehkan idea yang bersifat global menjadi realiti dalam arena tempatan.

Selepas dijajah selama hampir 500 tahun, kita ditinggalkan dalam keadaan terlalu bergantung terhadap negara lain yang mempunyai kuasa ekonomi lebih besar, terutamanya dalam aspek teknologi dan kepakaran tenaga kerja. Walaupun Melaka satu ketika dahulu merupakan hab perkapalan utama dan menghubungkan peniaga dan usahawan serata dunia, hari ini keadaan tidak sudah seperti kurun ke-15 yang lalu. Kita juga turut dipengaruhi oleh kuasa luar untuk mempercayai bahawa kita tidak berupaya untuk mengurus negara sendiri. Pada ketika itu, selain daripada perlombongan, sektor pertanian memainkan peranan penting dalam menjana pertumbuhan ekonomi. Guthrie, sebuah syarikat perladangan luar negara yang besar pernah mempunyai lebih kurang 200,000 ekar tanah pertanian di Malaysia. Kerajaan Malaysia pada ketika itu memutuskan untuk membeli syer syarikat tersebut bagi membolehkan entiti tempatan memilikinya. Dengan itu, sebuah ‘serbuan’ dilaksanakan bagi mengambil alih syarikat tersebut pada tahun 1981. Serbuan tersebut yang juga dikenali sebagai “Dawn Raid” di Bursa Saham London telah menjadi kejayaan besar dalam proses negara kita untuk lebih berdikari dalam pentadbiran. Kemudian, sebelum 1981 sampai ke penghujungnya, Guthrie telah dimiliki sepenuhnya oleh entiti tempatan. Apabila syarikat tersebut milik tempatan sepenuhnya, banyak peluang baru dibuka kepada usahawan tempatan untuk mengembangkan perniagaan mereka kerana syarikat tidak lagi bergantung kepada entiti luar untuk operasi syarikat.

Beberapa dekad kemudian, kita mendapati bahawa sektor pertanian tidak menjamin pertumbuhan ekonomi jangka panjang. Oleh itu, negara kita mula fokus kepada sektor pembuatan. Ini dapat dilihat menerusi pelancaran model kereta pertama, Proton Saga pada tahun 1985. Penubuhan Proton telah membuka ribuan peluang pekerjaan untuk kilang mereka dan juga banyak pembekal-pembekal komponen dan aksesori kenderaan tempatan. Dalam perjalanan kita menuju ke arah negara industri, keperluan terhadap kemajuan teknologi semakin meningkat. Penyelesaian jangka pendek ialah dengan membawa masuk tenaga kerja dari luar sementara kita menumpukan usaha bagi membangunkan bakat-bakat tempatan. Institusi pembelajaran tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan dan penekanan diberi untuk pembangunan sumber manusia yang mempunyai semangat keusahawanan. Agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) memainkan peranan penting bagi membentuk masa depan sektor keusahawanan dalam negara. Melalui institusi pendidikan seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Kolej GiatMARA dan banyak lagi, para pelajar didedahkan dengan pelbagai peluang keusahawanan dalam membolehkan negara menuju ke hadapan dan memastikan kelangsungan ekonomi.

Dengan pertumbuhan pesat kemajuan teknologi, akses terhadap sumber keusahawanan menjadi lebih mudah berbanding sebelum ini. Globalisasi telah membolehkan kita lebih cakna terhadap keperluan masyarakat yang sentiasa bertambah. Usahawan pula semakin bijak dalam meneroka peluang yang ada bagi menambah baik kehidupan kita. Mereka memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada dan sentiasa menambah baik produk dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada para pelanggan. Minat kita terhadap keusahawanan sangat perlu diteruskan dengan pendekatan yang lebih berteknologi. Dahulunya, pakaian Melayu tradisional seperti baju kurung dan tudung kebanyakannya dijual di kedai. Hari ini, pakaian-pakaian tersebut boleh dicari secara mudah atas talian (online) dan kebanyakan penjual online tidak pun mempunyai lot kedai sendiri. Ini adalah antara contoh bagaimana para usahawan boleh menerapkan pendekatan baharu dalam melaksanakan perniagaan sedia ada.

Apabila kita melihat potensi masyarakat kita dari perspektif keusahawanan, kita mempunyai sejarah yang utuh untuk dijadikan pedoman. Satu ketika dahulu, kita merupakan hab yang popular untuk peniaga dan usahawan. Selain itu, kita juga muncul sebagai antara sebilangan kecil negara membangun yang mempunyai sektor automotifnya sendiri yang mapan. Hal ini menunjukkan betapa dalamnya semangat keusahawanan terpahat dalam budaya kita. Oleh itu, budaya kita berupaya memacu kita untuk menjadi usahawan yang berjaya. Perubahan dalam pendekatan ekonomi telah diterangkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib dalam satu ucapannya pada tahun lalu. Semasa ucapan tersebut, beliau menyatakan bahawa jika kita ingin menuju ke arah negara maju, ekonomi kita haruslah berteraskan inovasi dan pengetahuan. Oleh itu, kita sangat memerlukan usahawan yang bermotivasi tinggi untuk memacu ekonomi kita menuju ke arah status negara maju.

YEN Secretariat

YEN Secretariat

Writer at Youth Entrepreneurial Network
YEN Secretariat