Tiga puluh tahun lepas, sekiranya seseorang ingin mengetahui jumlah penduduk di dalam dunia, maka dia akan ke perpustakaan terdekat untuk membuat rujukan mengenai maklumat berkenaan. Hari ini, maklumat berkenaan mampu diperoleh dalam masa beberapa saat dengan menggunakan mana-mana telefon pintar. Ini merupakan bukti di mana teknologi bergerak dengan cepat di masa kini. Begitu juga dengan keusahawanan. Pada zaman sekarang, usahawan menjadi lebih bijak menguruskan produk atau servis kepada bakal pelanggan dengan menggunakan teknologi. Akan tetapi, bagaimanakah minat terhadap keusahawanan kekal dengan penggunaan teknologi? Adakah minat terhadap keusahawanan akan kekal walaupun berbeza generasi?

Datuk dan nenek kita selalu menceritakan bagaimana mereka harus menggunakan tulang empat kerat untuk meneruskan kelangsungan hidup. Cerita sedemikian membuatkan kita terpaku akan susahnya mereka untuk mencari sesuap nasi untuk keluarga. Oleh itu, kebanyakkan Gen X membesar dengan dipengaruhi oleh cerita tersebut. Mereka bekerja keras untuk mencari idea- idea terbaru untuk perniagaan. Pemasaran produk juga dilakukan dengan secara manual, contohnya iklan di surat khabar dan kaca televisyen. Akan tetapi, hal yang sebaliknya terjadi kepada Gen Y. Gen Y lebih suka bekerja secara bijak daripada bekerja keras semata-mata. Gen Y lebih banyak bergantung kepada penggunaan teknologi untuk membuatkan mereka lebih maju berbanding persaingan terdekat. Hampir kesemuanya bergantung kepada Internet. Lihat sajalah kepada kertas cadangan perniagaan mereka yang lebih komprehensif dengan data-data mengenai pasaran semasa, trend dan peluang perniagaan. Maka, dengan adanya semua maklumat terkini, perniagaan mereka lebih kukuh dan lebih berdaya saing berbanding Gen X.

Pada zaman dahulu, Gen X lebih bergantung kepada modal perniagaan yang kecil berbanding Gen Y. Kebanyakan mereka tidak mampu untuk mencari wang tunai yang banyak dalam sekelip mata untuk memulakan perniagaan. Ada beberapa bank yang menawarkan pinjaman perniagaan. Namun demikian, tidak semua layak untuk memohon pinjaman tersebut. Apatah lagi dengan pajakan yang kecil nilainya di mata bank. Gen Y lebih bernasib baik dengan bantuan kerajaan. Terdapat pelbagai skim yang ditawarkan oleh kerajaan seperti Pinjaman Perniagaan oleh MARA dan Bank SME. Golongan ini lebih cenderung untuk melaburkan modal yang tinggi berbanding Gen X yang lebih berhati-hati dalam memulakan perniagaan.

Keusahawanan merupakan satu proses mengenal pasti kehendak bakal pelanggan dan menyediakan apa yang dikehendaki kepada bakal pelanggan. Mari kita lihat kepada konsep pendidikan di Malaysia. Selepas Gen Y tamat persekolahan, mereka dimomokkan agar memasuki universiti untuk menggenggam segulung ijazah. Dengan segulung ijazah di tangan, mereka lebih bersedia untuk memasuki alam pekerjaan. Oleh sebab itu, golongan usahawan, baik selepas tamat persekolahan atau universiti, lebih dipandang serong oleh masyarakat sekitar sekiranya mereka tidak mempunyai sijil kelayakan atau tidak mendapat pendidikan formal. Ini menyebabkan tidak ramai yang cenderung untuk membabitkan dengan bidang keusahawanan walaupun mendapat banyak bantuan dari kerajaan dan bank.

Melihat kepada semangat jitu yang ditonjolkan oleh Gen X dan Y, secara umumnya memang berbeza. Sejarah menunjukkan Gen X merupakan generasi lahir pasca Perang Dunia Kedua. Sebagai generasi selepas perang, mereka lebih berdaya saing dan berani mengambil risiko untuk menceburi bidang perniagaan walaupun risikonya tinggi. Barangkali, peluang pekerjaan yang terhad membuatkan generasi ini lebih bersemangat untuk memastikan perniagaan mereka membuahkan hasil. Sebaliknya, Gen Y lebih mementingkan pendapatan yang stabil dan gembira dengan suasana berkerja. Peluang bertukar kerjaya juga merupakan situasi yang biasa untuk Gen Y berbanding Gen X. Mereka lebih bertuah kerana mampu untuk memilih pelbagai kerja kosong daripada pelbagai syarikat apabila mereka tamat pengajian.

Konklusinya, Gen Y mesti berani untuk keluar dari zon selesa untuk menceburi bidang keusahawanan. Sabar dan minat merupakan elemen penting yang ditunjukkan oleh Gen X harus dicontohi oleh Gen Y dalam meneroka bidang tersebut. Bidang keusahawanan semestinya menjanjikan pulangan yang lumayan, semestinya setelah mengharungi liku perniagaan yang kadang kala tidak selalunya bernasib baik. Namun, tidak kira sama ada anda merupakan Gen X atau Y, yang penting ialah semangat yang kuat, pengetahuan yang luas dan sedikit tuah untuk berjaya memajukan bidang perniagaan anda. Selamat maju jaya!

 

 

YEN Secretariat

YEN Secretariat

Writer at Youth Entrepreneurial Network
YEN Secretariat